Pendahuluan

Tuesday, August 3, 2010


Setiap individu inginkan keselesaan dalam kedudukan kewangan mereka. Oleh itu, untuk mencapainya seseorang itu perlulah mempunyai suatu sistem perancangan kewangan atau sistem pengurusan kewangan yang berkesan agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik. Sesiapa sahaja jika pendapatannya diuruskan dengan bijak maka, kedudukan kewangannya pasti akan berada dalam keadaan baik dan stabil.

Kebolehan mengurus kewangan dengan bijak merupakan satu kemahiran yang penting supaya individu boleh berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan yang diingini. Setiap individu perlu mengawal kewangan meskipun tidak mempunyai masalah kewangan. Cara seseorang  menggunakan wang pada hari ini akan memberi kesan terhadap cara hidupnya pada masa akan datang. Tambahan lagi, terdapat kemungkinan  kita akan menghadapi masalah kewangan akibat peristiwa di luar kawalan  seperti penyakit, kehilangan sumber pendapatan dan kecemasan keluarga yang hanya dapat diselesaikan dengan wang.
Bagi yang tidak bijak menguruskan kewangan, mereka mungkin akan menjadi muflis. Kebanyakan golongan yang menjadi muflis adalah merupakan golongan belia di antara umur 20 hingga 30 tahun, manakala golongan lelaki peratusannya adalah lebih tinggi berbanding wanita. Peratusan kaum melayu yang muflis pula berada pada tahap yang membimbangkan iaitu sebanyak 51%. Hal ini disebabkan tiada teknik yang betul dalam mengurus atau merancang kewangan.


Dengan ini satu kaedah diperlukan bagi menguruskan kewangan. Cara yang mudah adalah dengan mengikuti langkah-langkah menguruskan kewangan dengan sistematik yang akan dibincangkan dengan lebih terperinci di dalam blog ini. Teknik yang dicadangkan adalah mudah dan fleksibel agar dapat dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat, terutamanya kepada pelajar dan pekerja.

                                                                             
Cheor Siew Mei (206381)

Bagaimana Masalah Kewangan Boleh Berlaku?

1. Berbelanja secara berlebihan












Ramai dalam kalangan kita seringkali membeli secara terus iaitu melakukan setiap pembelian tanpa berfikir sama ada barangan yang hendak di beli itu adalah kehendak ataupun keperluan. Sikap masyarakat yang tidak membuat sebarang perancangan semasa membuat pembelian terutamanya pada musim perayaan dan jualan murah akan mengakibatkan masyarakat berbelanja lebih daripada kemampuan dan membeli barangan yang tidak perlu sehingga mendatangkan pembaziran. Hal ini kerana barangan tersebut mungkin sekadar untuk digunakan pada masa-masa tertentu sahaja seperti pada musim perayaan, hari keramaian dan sebagainya. 


2. Terlalu banyak berhutang








Masalah kewangan juga boleh berpunca daripada ketidakstabilan kewangan yang menyebabkan individu tertentu terdorong untuk meminjam wang daripada pihak tertentu. Desakan kewangan akan berlaku apabila seseorang itu ingin memyambung pelajaran, berkahwin, membeli aset tetap seperti rumah, membayar sewa dan pelbagai lagi yang mendorong individu meminjam wang daripada pihak bank dan pihak yang berkepentingan lain seperti ahli keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga. Lebih memburukkan keadaan jika seseorang itu menggunakan jalan mudah dengan meminjam wang daripada pihak yang salah seperti kongsi gelap atau 'ahlong'. Masalah ini akan menjadi lebih rumit apabila kita gagal untuk melangsaikan hutang yang dipinjam daripada golongan yang disebut di atas dan secara tidak langsung, masalah ini boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.


3. Menggunakan banyak kad kredit dalam satu masa
Penggunaan kad kredit sebenarnya bukan dapat menyenangkan kehidupan kita tetapi menambahkan lagi  beban hutang kerana perlu membayar kadar faedah yang tinggi. Pengguna tidak sedar akan bahaya penggunaan kad  kredit.Walaupun kita nampak penggunaan kad kredit lebih mudah, namun hakikatnya terdapat pelbagai keburukannya. Jika anda mempunyai dua atau tiga kad kredit, sebenarnya anda telah melakukan kesilapan. Oleh itu hapuskan dua lagi kad kredit tersebut sebelum masalah hutang anda menjadi bertimbun-timbun. Kesilapan menggunakan kredit kad boleh menyebabkan anda menjadi bankrup, kerana kadar faedah bagi hutang tersebut sentiasa naik dan jika anda membayar sedikit sahaja kemungkinan anda hanya membayar jumlah faedahnya sahaja, tidak termasuk hutang kad kredit yang sebenar.


4. Tiada simpanan
Masalah kewangan juga boleh berlaku sekiranya individu tidak mempunyai simpanan. Hal ini berlaku disebabkan individu tidak mengamalkan sikap menabung sejak dari kecil. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting untuk menyemai sikap menabung dalam diri anak-anak mereka sejak kecil. Bak kata pepatah Melayu, "Melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Selain itu, ibu bapa juga dipertanggungjawabkan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak mereka tentang kepentingan menabung di masa hadapan. Kita tidak akan tahu jenis kecemasan yang bakal terjadi pada masa akan datang, jadi jika tiada simpanan, kita mungkin akan mengalami krisis kewangan. Secara kesimpulannya, setiap individu perlu mempunyai sedikit simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.

5. Terlalu bergantung harap terhadap orang lain
Ada dalam kalangan individu terlalu bergantung harap kepada orang lain untuk menyumbangkan wang bagi menguruskan kehidupan seharian. Senario ini seringkali berlaku kepada mereka yang tidak bekerja. Golongan ini akan meminta wang daripada ahli keluarga, sahabat handai mahupun jiran tetangga untuk membeli keperluan seharian tanpa mahu berusaha untuk mendapatkan wang dengan keringat sendiri. Sesetengah orang ingin mengecapi kekayaan dalam masa yang singkat dengan melabur wang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab seperti skim cepat kaya.

Loh Hoay Fang (206409)
Koh Wei Chi (206434)

Kesan Masalah Kewangan




1. Tekanan perasaan
Masalah kewangan boleh menyebabkan individu yang terlibat dengan masalah kewangan akan sentiasa berasa runsing .
perkara ini disebabkan seseorang itu sering tiada wang dan akhirnya boleh membawa kepada gejala sosial yang tidak sihat seperti peras ugut, merompak dan lebih serius lagi cenderung untuk membunuh diri. 

2. Membuat pinjaman daripada along
Individu yang mempunyai masalah ini akan memikirkan jalan penyelesaian yang paling cepat. Hal ini akan menyebabkan mereka berfikiran sempit dan cenderung untuk meminjam daripada pihak yang salah. Contohnya, meminjam daripada ceti haram ataupun lebih dikenali sebagai 'ahlong'. Selain itu, mereka juga akan meminjam daripada badan-badan yang tidak diiktiraf seperti Pusat Peminjaman Wang Sementara. Peminjam akan dikenakan kadar faedah yang tinggi dan akhirnya peminjam tidak mampu membayar hutang tersebut lalu diburu oleh pemiutang. Individu tersebut akan hidup dalam ketakutan dan keadaan ini boleh mengancam nyawa diri sendiri dan juga ahli keluarga. Konklusinya, mereka yang berhutang ini bukan sahaja menyusahkan diri mereka sendiri malah turut mengancam nyawa orang yang tersayang.

3. Masalah rumah tangga
Sekiranya masalah kewangan berlaku dalam institusi kekeluargaan, semestinya akan menyebabkan timbulnya masalah rumah tangga. Suami isteri akan sering bertengkar kerana sering kesempitan wang untuk memjelaskan sewa rumah, bil-bil, membeli keperluan harian dan sebagainya dan akhirnya sehingga boleh membawa kepada kes penceraian.


4. Muflis
Bagi individu yang sentiasa berhutang terutamanya dengan institusi kewangan seperti pihak bank, jika mereka tidak mampu untuk membuat pembayaran balik maka pihak bank berhak untuk mengistiharkan muflis kepada golongan ini dan hartanya akan dirampas atau disita oleh pihak bank. Kebanyakan golongan yang muflis merupakan golongan yang gagal menjelaskan hutang kad kredit dan kadar faedah yang tinggi dan akhirnya membawa mereka kepada muflis. 

Lai Swee Kee (206386)

Apakah yang harus dilakukan untuk Mengelakkan Kekangan Kewangan?




Mengurus kewangan dengan langkah dan teknik yang betul akan membantu anda dalam mengatasi masalah kewangan bagi menjamin kehidupan yang selesa pada masa akan datang.


Sebelum itu, anda harus mengetahui...


Jaymeela A/P Jaya Pragasam (206396)

Apakah yang dimaksudkan dengan Perancangan Kewangan?


Perancangan kewangan adalah tentang mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti :
  • Menyambung pelajaran
  • Berkahwin
  • Membeli aset seperti kereta atau rumah
  • Merancang untuk mendapatkan anak
  • Perancangan pendidikan anak
 Jaymeela A/P Jaya Pragasam (206396)

Siapakah yang Memerlukan Pengurusan Kewangan?






Sesungguhnya setiap orang memerlukan pengurusan kewangan bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menjalani kehidupan seharian. Malahan setiap dari kita mempunyai impian yang harus dilaksanakan.namun begitu semua ini memerlukan kewangan yang mencukupi. golongan yang memerlukan pengurusan kewangan ialah


a) Pelajar
Pelajar merupakan golongan pertama di peringkat awal yang harus mempelajari sistem pengurusan kewangan yang sistematik bagi membantu dalam apa jua keadaan. Pelajar yang dimaksudkan adalah dari kalangan pelajar sekolah menengah, pelajar IPTA dan IPTS. Tanpa pengurusan wang yang bijak pelajar mungkin mengalami kesempitan wang terutamanya bagi mereka yang hanya bergantung harap kepada pinjaman wang PTPTN.

b) Pekerja
Pekerja juga harus mengetahui dan mempelajari cara-cara pengurusan wang yang betul. Hal ini kerana apabila seseorang itu meningkat dewasa semakin banyak tanggungjawab yang harus dipikul. Mereka harus menyimpan wang untuk diri sendiri, keluarga dan sebagainya. Sekiranya pengurusan wang tidak dilaksanakan dengan betul, mereka akan mengalami masalah kewangan seperti kehabisan wang pada pertengahan bulan dan tiada sebarang simpanan. Bagi golongan yang melakukan pekerjaan sendiri mereka juga akan mengalami masalah kewangan sekiranya pekerjaan yang dilakukan tidak berjaya. Mereka akan mengalami hutang yang kian meningkat dan berkemungkinan akan muflis.

c) Suri rumah
Kita tidak seharusnya beranggapan menjadi seorang suri rumah tidak memerlukan perancangan kewangan yang sistematik. Suri rumah amat memerlukan perancangan kewangan yang betul kerana mereka harus menguruskan pelbagai aspek dalam kehidupan mereka antarnya mereka harus mengetahui kaedah dalam membuat pembelian keperluan harian seisi keluarga bagi membolehkan setiap bajet yang diberikan dapat disimpan untuk masa hadapan mahupun kecemasan. Suri rumah juga harus mengetahui keadaan semasa seperti keadaan ekonomi, harga barangan di pasaran dan sebagainnya,.

d) Pesara
Selain itu, pesara juga merupakan golongan yang tidak terlepas daripada orang yang memerlukan pengurusan kewangan. Walaupun dikatakan golongan ini mampu untuk membuat pengurusan kewangan yang sistematik, namun terdapat juga pesara yang kehabisan wang pencen dalam masa singkat kerana mereka tidak mempunyai pendedahan yang betul tentang teknik pengurusan kewangan. 

Justeru, tidak kira sesiapa sahaja anda, anda tetap memerlukan teknik pengurusan kewangan yang betul bagi menjamin kewangan anda berada dalam keadaan yang stabil pada setiap masa.


Koh Wei Chi (206434)

Tips Mengurus Kewangan dengan Bijak





1. Catatkan perbelanjaan harian anda.
  • Ambil sedikit masa sekurang-kurangnya 15minit untuk mencatatkan segala perbelanjaan yang anda telah buat. Lakukannya pada setiap hari.
  • Pada akhirnya anda akan dapat melihat ke mana wang anda dialirkan semasa anda menghadapi kekurangan wang pada pertengahan bulan.
  • Seterusnya apabila anda sudah mempunyai rekod perbelanjaan harian untuk gaji atau pendapatan pada bulan seterusnya, anda boleh merancang perbelanjaan agar tidak terputus wang di pertengahan bulan.
2. Menentukan matlamat kewangan.
  • Kita harus tahu akan matlamat kewangan kita. Ke mana ia hendak digunakan?
  • Contohnya, digunakan untuk menyambung pelajaran, membeli sebuah rumah, berkahwin, pendidikan anak-anak, perbelanjaan sewaktu persaraan dan banyak lagi.
3. Mengawasi tabiat berbelanja.
  • Jika kita rasa kita gagal untuk menyimpan duit, jadi inilah masanya untuk mengawasi perbelanjaan semasa kita.
  • Kita perlu menyemak semula kemanakah wang kita telah dihabiskan atau dibelanjakan. Adakah ia cenderung ke arah keperluan atau kehendak semata-sama?
  • Jika lebih kepada kehendak semata-mata, kita haruslah segera mengubah tabiat tersebut.
4. Menulis rancangan atau kawalan perbelanjaan.
  • Ramai yang telah tahu tentang konsep ini, tetapi ramai juga di antara kita yang malas mahu mengamalkannya.
  • Kita haruslah mengubah sikap tersebut bagi merancang perjalanan perbelanjaan agar tidak berlaku pembaziran.
  • Apabila kita menerima duit gaji atau pendapatan bulanan, kita perlulah mencatat atau menulis ke manakah ianya hendak dibelanjakan. Jadi, apabila kita tahu akan perjalanan perbelanjaan, sudah tentu kita akan tahu arah tuju wang kita yang dibelanjakan dan digunakan sekaligus dapat mengelakkan pembaziran.
5. Menyimpan terlebih dahulu sebelum berbelanja.
  • Konsep perbelanjaan yang betul adalah seperti berikut:
  • Pendapatan - Simpanan = Hutang + Perbelanjaan; dan bukannya
  • Pendapatan - (Hutang + Perbelanjaan) = Simpanan
  • Maksudnya, setiap kali memperolehi gaji bulanan, sepatutnya yang diumatakan ialah melakukan simpanan kemudian barulah digunakan untuk tujuan pembayaran hutang dan perbelanjaan,
  • Jangan sesekali membayar hutang dan berbelanja terlebih dahulu tanpa melakukan melakukan sebarang simpanan kerana konsep itu adalah salah.
6. Penggunaan kad kredit yang betul.
  • Setiap orang hanya perlu ada 1 sahaja kad kredit.
  • Jika mempunyai 2 atau 3 kad kredit, anda harus tutup 2 lagi kad kredit sebelum masalah hutang anda menjadi bertimbun.
  • Cuba mengawal kos kad kredit dengan memilih kad kredit yang menawarkan faedah dan yuran tahunan yang kurang dan tidak dikenakan bayaran tinggi terhap had kad kredit ataupun cari promosi kad kredit yang tidak perlu membayar yuran tahunan.
  • Bayar hutang tepat pada masanya dan langsaikan akaun tertunggak setiap bulan bagi mengelakkan hutang kad kredit daripada berlaku.
  • Sila berbelanja mengikut perancangan awal seperti merancang perbelanjaan.
  • Pratikkan disiplin diri semasa berbelanja dengan kad kredit bagi mengelakkan daripada berlakunya penggunaan kad kredit yang berlebihan.


Nurul Huda Bt Azmi (206261)
Ng Shu Fen (206376) 


                                                                 

Mengapakah Simpanan itu Penting?


  1. Simpanan kewangan boleh diibaratkan sebagai suatu transaksi perniagaan. Anda menukar ganti peluang anda untuk berbelanja sekarang dengan perbelanjaan yang bakal anda hadapi. Maka tujuan utama menabung adalah untuk menampung perbelanjaan mungkin anda hadapi. Bak kata pepatah, "Sediakan payung sebelum hujan".
  2. Anda boleh menabung untuk pembelian aset atau untuk memberikan anda peluang berbelanja yang lebih fleksibel agar mencapai matlamat anda.
  3. Berbelanja dengan berhemat dapat membantu kita menabung dengan lebih efektif. Sekiranya jumlah pendapatan bulanan anda tidak menentu, anda boleh menyimpan sebahagian daripada pendapatan anda dari menyimpan suatu jumlah yang ditetapkan.

Nur Saibah Bt Zakaria (206258)

Tips Untuk Meningkatkan Kewangan Anda


1. Sentiasa berbelanja mengikut bajet anda.
Bajet dapat membantu anda untuk mencapau impian kewangan yang anda impikan serta membolehkan anda bersedia menghadapi masa kesukaran yang tidak dapat dijangka.

2. Membayar hutang kad kredit.
Kita sering leka apabila menggunakan kad kredit kerana tidak berurus niaga dengan tunai. Namun, kita haruslah berjaga-jaga kerana akaun tertunggak akan dikenakan faedah yang tinggi yang boleh mencecah sebanyak 13.5% setahun.

3. Mempunyai pelan simpanan.
Amalkan peraturan 10% iaitu menyimpan 10% daripada wang yang anda miliki setiap bulan.

4. Berbelanja kurang daripada apa yang diperolehi.
  • Berbelanja lebih daripada bajet atau di luar kemampuan akan mengakibatkan kedudukan kewangan anda tergugat amatlah tidak digalakkan lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi.
  • Misalnya, sekiranya anda tidak mampu untuk memmbeli sebuah kereta Proton Perdana, ianya berbaloi membeli sebuah kereta Proton Waja dan bakinya boleh disimpan dan digunakan pada masa kecemasan.
5. Jangan membeli sekiranya anda boleh meminjam/menyewa.
  • Sesetengah buku boleh didapati di perpustakaan tanpa perlu dibeli dan sama juga seperti video yang boleh disewa di kedai video. Buku juga kadangkala dapat disewa di kedai buku dan anda tidak perlu bersusah payah untuk membeli serta membazirkan wang dan ruang untuk disimpan di rumah.
6. eSave dalam utiliti.
  • Sesetengah perbelanjaan kadang kala tidak boleh dielakkan tetapi anda boleh mengurangkan perbelanjaan tersebut. Contohnya, telefon bimbit. Sekiranya anda menggunakan kad prabayar yang jauh lebih murah daripada menggunakan talian kerana anda dapat mengehadkan penggunaan anda.
  • Tidak menggunakan penghawa dingin di rumah boleh mengurangkan bil bulanan anda sebanyak RM80.
  • Anda juga boleh menjimatkan penggunaan petrol dengan mengamalkan cara pemanduan yang berhemah di jalan raya. Contohnya, elakkan menekan brek terlalu kerap, memandu mengikut had laju yang ditetapkan dan elakkan membawa barangan yang tidak digunakan di dalam but kereta.
7. Amalkan tabiat melabur.
  • Laburkan duit anda agar mendapat pulangan yang lebih, tetapi sebelum membuat sebarang pelaburan buatlah kaji selidik terlebih dahulu bagi mengelakkan penipuan. Keji selidik boleh dijalankan dengan melihat laporan kewangan dan laporan tahunan sesuatu agensi seperti pihak bank.

Siti Anida Bt Othman (206245) 

Kesimpulan




     Mengurus kewangan dengan teknik yang betul dapat membantu mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh semua masyarakat. Masalah jika tidak diatasi ibarat duri dalam daging yang boleh menyebabkan pelbagai implikasi buruk kepada orang ramai yang terlibat dengan situasi tersebut. Setelah mengetahui teknik yang betul, secara tidak langsung dapat membantu orang ramai berjimat-cermat di samping menyimpan wang untuk kegunaan pada masa kecemasan. Kepada para pelajar, anda sepatutnya sudah merancang bagaimana anda harus membelanjakan wang PTPTN yang diberikan dengan berfaedah. Sekiranya anda mengamalkan sikap berhemah dalam berbelanja, semestinya anda boleh menyimpin sebahagian kecil daripada wang PTPTN tersebut untuk digunakan pada masa hadapan. 


Fatin Aiman Bt Abd Latiff (206268)