Pendahuluan

Tuesday, August 3, 2010


Setiap individu inginkan keselesaan dalam kedudukan kewangan mereka. Oleh itu, untuk mencapainya seseorang itu perlulah mempunyai suatu sistem perancangan kewangan atau sistem pengurusan kewangan yang berkesan agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik. Sesiapa sahaja jika pendapatannya diuruskan dengan bijak maka, kedudukan kewangannya pasti akan berada dalam keadaan baik dan stabil.

Kebolehan mengurus kewangan dengan bijak merupakan satu kemahiran yang penting supaya individu boleh berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan yang diingini. Setiap individu perlu mengawal kewangan meskipun tidak mempunyai masalah kewangan. Cara seseorang  menggunakan wang pada hari ini akan memberi kesan terhadap cara hidupnya pada masa akan datang. Tambahan lagi, terdapat kemungkinan  kita akan menghadapi masalah kewangan akibat peristiwa di luar kawalan  seperti penyakit, kehilangan sumber pendapatan dan kecemasan keluarga yang hanya dapat diselesaikan dengan wang.
Bagi yang tidak bijak menguruskan kewangan, mereka mungkin akan menjadi muflis. Kebanyakan golongan yang menjadi muflis adalah merupakan golongan belia di antara umur 20 hingga 30 tahun, manakala golongan lelaki peratusannya adalah lebih tinggi berbanding wanita. Peratusan kaum melayu yang muflis pula berada pada tahap yang membimbangkan iaitu sebanyak 51%. Hal ini disebabkan tiada teknik yang betul dalam mengurus atau merancang kewangan.


Dengan ini satu kaedah diperlukan bagi menguruskan kewangan. Cara yang mudah adalah dengan mengikuti langkah-langkah menguruskan kewangan dengan sistematik yang akan dibincangkan dengan lebih terperinci di dalam blog ini. Teknik yang dicadangkan adalah mudah dan fleksibel agar dapat dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat, terutamanya kepada pelajar dan pekerja.

                                                                             
Cheor Siew Mei (206381)

1 comments:

Unknown said...

sediakan payung sebelum hujan...elakkan diri daripada digolongkan muflis!

Post a Comment