Bagaimana Masalah Kewangan Boleh Berlaku?

Tuesday, August 3, 2010

1. Berbelanja secara berlebihan












Ramai dalam kalangan kita seringkali membeli secara terus iaitu melakukan setiap pembelian tanpa berfikir sama ada barangan yang hendak di beli itu adalah kehendak ataupun keperluan. Sikap masyarakat yang tidak membuat sebarang perancangan semasa membuat pembelian terutamanya pada musim perayaan dan jualan murah akan mengakibatkan masyarakat berbelanja lebih daripada kemampuan dan membeli barangan yang tidak perlu sehingga mendatangkan pembaziran. Hal ini kerana barangan tersebut mungkin sekadar untuk digunakan pada masa-masa tertentu sahaja seperti pada musim perayaan, hari keramaian dan sebagainya. 


2. Terlalu banyak berhutang








Masalah kewangan juga boleh berpunca daripada ketidakstabilan kewangan yang menyebabkan individu tertentu terdorong untuk meminjam wang daripada pihak tertentu. Desakan kewangan akan berlaku apabila seseorang itu ingin memyambung pelajaran, berkahwin, membeli aset tetap seperti rumah, membayar sewa dan pelbagai lagi yang mendorong individu meminjam wang daripada pihak bank dan pihak yang berkepentingan lain seperti ahli keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga. Lebih memburukkan keadaan jika seseorang itu menggunakan jalan mudah dengan meminjam wang daripada pihak yang salah seperti kongsi gelap atau 'ahlong'. Masalah ini akan menjadi lebih rumit apabila kita gagal untuk melangsaikan hutang yang dipinjam daripada golongan yang disebut di atas dan secara tidak langsung, masalah ini boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.


3. Menggunakan banyak kad kredit dalam satu masa
Penggunaan kad kredit sebenarnya bukan dapat menyenangkan kehidupan kita tetapi menambahkan lagi  beban hutang kerana perlu membayar kadar faedah yang tinggi. Pengguna tidak sedar akan bahaya penggunaan kad  kredit.Walaupun kita nampak penggunaan kad kredit lebih mudah, namun hakikatnya terdapat pelbagai keburukannya. Jika anda mempunyai dua atau tiga kad kredit, sebenarnya anda telah melakukan kesilapan. Oleh itu hapuskan dua lagi kad kredit tersebut sebelum masalah hutang anda menjadi bertimbun-timbun. Kesilapan menggunakan kredit kad boleh menyebabkan anda menjadi bankrup, kerana kadar faedah bagi hutang tersebut sentiasa naik dan jika anda membayar sedikit sahaja kemungkinan anda hanya membayar jumlah faedahnya sahaja, tidak termasuk hutang kad kredit yang sebenar.


4. Tiada simpanan
Masalah kewangan juga boleh berlaku sekiranya individu tidak mempunyai simpanan. Hal ini berlaku disebabkan individu tidak mengamalkan sikap menabung sejak dari kecil. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting untuk menyemai sikap menabung dalam diri anak-anak mereka sejak kecil. Bak kata pepatah Melayu, "Melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Selain itu, ibu bapa juga dipertanggungjawabkan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak mereka tentang kepentingan menabung di masa hadapan. Kita tidak akan tahu jenis kecemasan yang bakal terjadi pada masa akan datang, jadi jika tiada simpanan, kita mungkin akan mengalami krisis kewangan. Secara kesimpulannya, setiap individu perlu mempunyai sedikit simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.

5. Terlalu bergantung harap terhadap orang lain
Ada dalam kalangan individu terlalu bergantung harap kepada orang lain untuk menyumbangkan wang bagi menguruskan kehidupan seharian. Senario ini seringkali berlaku kepada mereka yang tidak bekerja. Golongan ini akan meminta wang daripada ahli keluarga, sahabat handai mahupun jiran tetangga untuk membeli keperluan seharian tanpa mahu berusaha untuk mendapatkan wang dengan keringat sendiri. Sesetengah orang ingin mengecapi kekayaan dalam masa yang singkat dengan melabur wang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab seperti skim cepat kaya.

Loh Hoay Fang (206409)
Koh Wei Chi (206434)

1 comments:

Sky said...

harus berfikir secara rasional sebelum membeli barang,dan membandingkan harga sebelum membuat perbalanjaan.

Post a Comment